BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

ISTERI & ANAK BONGSUKU

ISTERI & ANAK BONGSUKU
Yang nampak baju hijau bersongkok tu sayalah

Coretan Kesedaran Untuk Cerminan Diri Sendiri

My photo
Dari Rengit ke Sungai Petani, Menetap di Ulu Tiram bersama isteri dan 4 anak, Malaysia
Pengacara Majlis, Trainer Pengacara Majlis, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam, Team Building, Kepimpinan, Penyeliaan, Motivasi Diri dan Kumpulan dan Perunding Program Tunas Bistari, Didik Bistari dan Siswa Bistari anjuran JCORP

26 January, 2010

Yang Pergi Biarkan Pergi Dengan Tenang

Tanggal 22 Januari 2010, negeri Johor Darul Ta'zim kehilangan seorang pemimpin negeri yang hebat. Almarhum DYMM Sultan Iskandar Alhaj Ibni Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim telah pergi meninggalkan semuanya di alam fana ini. Sebelum berita kemangkatan Almarhum diumumkan pada jam 11.25 malam oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato' Haji Abdul Ghani Othman, memang telah tersebar berita sejak paginya yang Almarhum sangat gering dan dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri. Di sepanjang hari Jumaat tersebut, Radio Best 104 hanya memainkan lagu-lagu tanpa kata-kata daripada penyampai. Pada pagi Jumaat tersebut juga, di sekitar 7 pagi, tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebat hampir di seluruh bandaraya Johor Bahru. Hujan ni memang berbeza sebab tiada tanda untuk hujan pagi tu. Malahan hari sebelumnya dah beberapa lama JB tak hujan. Hujan ni turun sehinggalah sekitar jam 7.30 pagi. Lepas tu cuaca panas terik dan tak hujan.

Saya memang menghormati Almarhum sebagai seorang Sultan yang berbeza. Baginda mempunyai karisma, aura dan sifat-sifat yang menyebabkan orang begitu menghormati baginda. Saya berpengalaman menjadi pengacara majlis dalam beberapa majlis yang dihadiri Almarhum. Di antaranya Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang dan Majlis Perkahwinan anak perempuan Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim.

Biasanya Almarhum tidak berkenan pengacara majlis bercakap panjang-panjang. Semuanya mesti ringkas dan menepati maksud.

Almarhum gemar acara perlumbaan motosikal. Ini adalah salah-satu sebab Johor Circuit dibina di Pasir Gudang kerana selain daripada galakan oleh Almarhum, pertandingan lumba motor tersebut telah berjaya menaikkan nama Pasir Gudang di mata dunia. Mungkin sekarang ni, ramai orang tidak tahu yang sebelum Litar Sepang terbina, Pasir Gudang merupakan tumpuan peminat-peminat motosikal peringkat antarabangsa pada tahun 80an dan 90an.

Baginda juga menggalakkan diadakan acara-acara yang boleh menghidupkan kembali permainan tradisi seperti layang-layang. Pada setiap tahun, Almarhum tidak ketinggalan menyaksikan Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang yang terkenal itu.

Kita semua sudah tentu biasa mendengar Kembara Mahkota Johor. Ini juga adalah kaedah Almarhum untuk menyediakan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk menjadi seorang Sultan yang faham corak kehidupan rakyat jelata. Pendekatan ini sangat hebat yang menyebabkan seluruh rakyat Johor tertunggu-tunggu acara ini setiap tahun. Mungkin acara ini akan tetap diteruskan. Malahan tidak mustahil DYMM Sultan Ibrahim akan turut sama mencemar duli bersama anakanda baginda untuk terus bertemu rakyat.

Saya juga sudah beberapa kali menjadi pengacara majlis semasa kehadiran DYMM Sultan Ibrahim semasa baginda menjadi Tunku Mahkota Johor. Di antaranya adalah perasmian Bandar Dato' Onn, perasmian Taman Damansara Aliff dan majlis perkahwinan anak lelaki Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim...

Saya juga beberapa kali menjadi pengacara untuk Sultanah yang baru iaitu YMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. Yang terbaru adalah pada 9 Disember 2009 semasa  Majlis Konvokesyen KPJ International College of Nursing and Health Sciences di Dewan Merdeka, PWTC, KL.

Sudah tentu kita semua mengharapkan agar di bawah pemerintahan DYMM Baginda Sultan Ibrahim ini, negeri Johor akan terus makmur, maju, aman dan diberkati Allah jua.

Al-Fatihah untuk Almarhum Sultan Iskandar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Ismail. Almarhum akan diingati sebagai Sultan yang unik dan berjiwa rakyat. Semoga Almarhum ditempatkan bersama insan-insan yang beramal soleh dan dimasukkan ke syurga firdausi. Amin.......

0 comments: